Sunday, December 20, 2009

Bukannya Cinderella Bab 3

Setelah selesai mengerjakan solat Subuh, dia bangun dan berdiri di tepi tingkap. Suasana masih lagi gelap. Udara pagi yang nyaman menyapa pipinya. Sesekali dia membetulkan uniform sekolah dan tali leher di badannya. Tiba-tiba dia teringatkan arwah ibunya. ‘Mama, mengapa begitu cepat mama meninggalkan kami semua?’ Dia cuba menahan air matanya dari gugur. Sekilas dia melihat jam tangannya lalu keluar dari rumah menuju ke destinasinya pagi itu.

“Eileen Arieda, bangun cepat! Dah pukul berapa ni!” Puan Adrianna menjerit sekuat hati. Dia berasa marah kerana Eileen masih lagi enak dibuai mimpi sedangkan jam sudah menunjukkan pukul 7.00 pagi. Eileen Arieda menggeliat malas. Dia melihat sekilas ke arah jam dinding yang tergantung di meja belajarnya. ‘Alah,baru pukul.. Eileen menggosok-gosok matanya seraya menjerit, “pukul tujuh!!!” Eileen bergegas ke bilik air dan bersiap-siap untuk ke sekolah. Lagaknya seperti lipas kudung pada pagi itu. Dia terkejar-kejar bersarapan sehingga hampir tercekik dia dibuatnya.

Selepas bersalaman dengan Puan Adrianna, Eileen segera berlari ke perkarangan rumah banglo itu dan memanggil nama Pak Tam berkali-kali. Tiba-tiba tangan Eileen ditarik seseorang. Eileen mendongakkan kepalanya sehingga matanya bertentangan dengan mata orang yang menarik tangannya.

“Awak?! Apa awak buat kat rumah saya pagi-pagi ni hah?!” Eileen berkata keras.

“Awak dah lupa ke apa yang dipersetujui semalam?” Fariel Aidid masih lagi menggenggam tangan Eileen dengan kuat. Dalam hati dia menyumpah-nyumpah Eileen kerana bangun lambat dari tidur. ‘Berjam-jam aku tunggu kat luar ni, tapi dia enak je tidur. Menyusahkan betul!’

Eileen menarik tangannya dengan kasar lalu menjerit sekuat hati. “Saya dah lambat ke sekolah! Saya tak nak jalan kaki, saya nak naik kereta! Lagipun, mama saya suruh saya berjalan kaki dengan awak time balik sekolah je! Awak ni…” Belum sempat Eileen menghabiskan kata-katanya, Fariel dengan pantas menekup mulut Eileen dan menolaknya ke dinding. “Awak ni tak menjerit sehari tak boleh ke? Memang orang kaya ni kerja menjerit je ke?” Eileen meronta-ronta minta dilepaskan. Tiba-tiba Fariel menjerit kesakitan. “OUCHHHHH!” Eileen ketawa terbahak-bahak melihat Fariel menggosok-gosok tangannya yang digigit Eileen. “Padan muka awak.” Eileen berasa bangga melihat Fariel dalam kesakitan. Fariel memandang Eileen yang sedang tersengih-sengih. ‘Berani betul minah ni. Merah tangan aku dibuatnya.’

Eileen mengerling pada jam tangannya lalu menjerit dengan kuat, “Alamak, dah pukul 7.10! Perhimpunan mula lagi sepuluh minit! Mana pulak Pak Tam ni!” Eileen mundar-mandir dengan gelabah. Fariel hanya bersandar pada dinding sambil memerhatikan sekumpulan ikan yang sedang berenang-renang di dalam kolam ikan. Dia malas hendak bertengkar dengan Eileen. ‘Suka hatilah dia nak naik apa. Bagus jugak dia nak naik kereta. Tak payah aku dengar dia merengek-rengek nanti. Ini sakitlah, penatlah, kaki lenguhlah. Mengada-ngada!’

Eileen memanggil lagi nama Pak Tam. Kali ini suaranya dikuatkan sehingga satu taman boleh mendengar suaranya, Pak Tam yang muncul entah dari mana kelihatan cemas dan kalut.

“Maaf Eileen, Pak Tam tak dengar tadi.” Pak Tam meminta maaf berkali-kali.. Dia yang sedang menyiram pokok bunga di belakang rumah tidak mendengar Eileen memanggilnya sejak tadi.

“Sudahlah, cepat sikit. Saya dah lambat ke sekolah ni!” Eileen segera masuk ke dalam kereta Alphard milik bapanya itu. Kemudian dia teringatkan Fariel. Dia menjulurkan kepalanya ke luar tingkap lalu memanggil Fariel. “Awak tak nak pergi sekolah ke?! Kalau awak berminat dengan ikan-ikan tu, balik sekolah nanti singgahlah rumah saya dulu yer. Tak akan lari gunung dikejar.” Eileen menyindir Fariel yang berdiri tegak seperti patung di tepi kolam ikan. Fariel menarik nafas cuba menahan api kemarahannya daripada meledak lalu dia masuk ke dalam kereta. Pak Tam memecut laju kereta ke Sekolah Menengah Angsana yang terletak berdekatan dengan rumah mereka.

Setelah tiba di sekolah, Eileen bergegas masuk ke dalam perkarangan sekolah. Dia sempat menjeling pada Fariel yang hanya mengekorinya dari belakang dengan wajah yang buntu. Eileen menghentikan langkahnya lalu menarik tangan Fariel. “Cepat sikitlah, kita berdua dah lambat!” Fariel hanya membiarkan dirinya ditarik. Dia bukannya tahu selok-belok sekolah ni. Maklumlah, dia kan pelajar baru.

Pagi itu, Dewan perhimpunan Sekolah Menengah Angsana hingar-bingar seperti pagi-pagi yang lain. Semua murid rancak berborak sesama sendiri kecuali dua orang murid yang bermuka masam kerana membenci antara satu sama lain. Eileen mencari-cari kawan baiknya, Afrilla Atia. Tetapi, batang hidung mancung Afrilla tidak kelihatan di mana-mana. Eileen mendengus kecil. ‘Manalah pulak Afrilla ni. Aku dahlah rimas dengan mamat ni.’ Dia mencuri pandang wajah Fariel Aidid di sebelahnya. Lelaki itu kelihatan tenang dan melemparkan senyuman manis kepada semua pelajar yang bertembung dengannya. Eileen berasa geram melihat pelajar-pelajar perempuan yang tersenyum-senyum malu setiap kali memandang Fariel Aidid. ‘Macam nampak putera raja pulak!’

“Awak jangan ingat mereka semua tu pandang awak sebab awak handsome. Mereka semua tu pandang awak sebab mereka teruja tengok budak baru!” Eileen menjeling tajam ke arah Fariel. Mata Fariel melirik pada Eileen yang sedang berpeluk tubuh dan mencebik seperti budak kecil.

“Kenapa? Awak jealous ke? Saya handsome ke pagi ni?” Fariel ketawa melihat Eileen yang membuat muka seperti hendak termuntah. Eileen tergamam melihat Fariel ketawa. Wajah Fariel yang kacak dan lesung pipitnya yang jelas kelihatan membuatkan hati Eileen berdengup laju. ‘Sabar Eileen, dia musuh kau. Ingat sikit tu.’

Tiba-tiba, Eileen merasakan bahunya ditepuk seseorang. Dia memalingkan kepalanya lalu tersenyum.

“Afrilla Atia!” Seperti biasa, Eileen dan Afrilla berpelukan dan ketawa bersama-sama. Mata Afrilla yang sangat peka pada lelaki kacak segera bertumpu ke arah Fariel. Afrilla meneliti Fariel dari atas ke bawah. ‘Ya Allah, kacaknya mamat ni!’

“Eh Eileen, siapa tu?” Afrilla berbisik kecil ke telinga Eileen. Matanya masih ligat meneliti setiap ‘pelusuk’ tubuh Fariel. Kulit sawo matang dan tinggi lampai! Memang menepati cita rasa setiap wanita! Eileen lantas mencubit pipi Afrilla yang halus mulus seperti kapas itu. Afrilla mengaduh kecil sambil menggosok-gosok pipinya yang mula kemerahan.

“Kenapa cubit pipi aku? Sakit tau tak!” Afrilla membuat mimik muka merajuk. Dia geram kerana pipinya dicubit tanpa sebab.

“Alah sayang, janganlah marah. Aku cubit sebab kau pandang dia macam harimau nak menerkan mangsa je.” Eileen memeluk bahu Afrilla dan memusingkan badan Afrilla agar berhadapan dengan Fariel.

“Afrilla, kenalkan. Ini Fariel Aidid.” Afrilla tersenyum manja pada Fariel. Yelah, lelaki kan suka perempuan yang bersopan-santun. Rambut depannya yang mengurai di dahi ditolak ke tepi. Fariel hanya tersenyum kecil. Dia memandang Eileen dengan pelik. ‘Siapa pulak minah ni. Perangai sepesis je dengan Eileen.’ Eileen memandang Fariel dengan pandangan yang tajam. ‘Say something, you stupid guy! Jangan biarkan Afrilla tu tersengih sorang-sorang!’ Eileen menghantar kata-katanya melalui isyarat mata. Fariel berpura-pura tidak nampak. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Afrilla.

“Fariel Aidid.” Fariel tersenyum manis pada Afrilla membuatkan jantung Afrilla berdegup laju.

“Afrilla Atia. Just call me Afrilla.” Afrilla membalas huluran tangan Fariel. Eileen membuat reaksi muka meluat. ‘Mengada-ngada betul mamat ni. Lepaskanlah tangan dia! Tak payah pegang lama-lama. Tahulah tangan Afrilla ni lembut. Tapi tangan aku lagi lembut! Menyampah betul!’

‘Lepaskanlah tangan aku cepat. Kenapa dia tak lepas-lepas ni. Berpeluh tangan aku dibuatnya. Minah ni memanglah. Tak pernah berjabat tangan dengan orang ke?’ Fariel berdehem kecil. Afrilla tersedar dari lamunan dan ketawa kecil. Dia melepaskan tangannya lalu memeluk mesra bahu Eileen.

“So, siapa Fariel ni? Mesti boyfriend kau kan?” Afrilla tersengih-sengih memandang mereka berdua. Eileen membeliakkan matanya mendengar kata-kata Afrilla. ‘Simpang malaikat empat puluh empat! Boleh mati aku kalau jadi girlfriend mamat ni.’ Eileen memerhatikan Fariel di sebelahnya. Fariel hanya duduk diam tidak memberi sebarang reaksi. “Eh, mana adalah Afrilla. Pandai-pandai je kau membuat spekulasi sendiri. Fariel ni….” Sebelum Eileen menghabiskan kata-katanya, Fariel terlebih dahulu menyambung, “Kami kawan je. Hmm, apa kata korang berdua duduk sekarang. Pengawas kat atas pentas tu asyik pandang-pandang korang je.” Afrilla dan Eileen memandang sekeliling. Seluruh ‘penghuni’ dewan sedang memandang mereka dengan pandangan yang pelik. Rupa-rupanya, hanya mereka berdua yang masih berdiri sedangkan pelajar-pelajar lain sudah duduk di kerusi masing-masing. Afrilla dan Eileen bingkas duduk di atas kerusi mereka. Muka mereka merona kemerahan kerana berasa sangat malu. Fariel hanya tersenyum sinis sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Apa senyum-senyum? Kelakar sangat ke hah?!” Eileen bercakap secara perlahan tetapi kasar.

“Kelakarlah tengok pipi awak yang merah macam hidung badut tu.” Fariel menahan gelak. Eileen mencubit lengan Fariel dan memandang kosong ke atas pentas. Tanpa mereka sedari, gelagat mereka berdua diperhatikan oleh sepasang mata dari sudut kiri dewan.

“Alfian, siapa lelaki sebelah Eileen Arieda tu? Tak pernah nampak pun. Budak baru ke? Mesra semacam je dia dengan Eileen Arieda?” Lamunan lelaki itu diganggu oleh pertanyaan bertalu-talu dari kawannya. Dia hanya mengangkat bahu dan memalingkan pandangannya ke atas pentas. ‘Siapa lelaki tu?’ Persoalan itu juga menganggu fikirannya.

Subjek pertama pada pagi itu ialah Biologi. Semua pelajar Tingkatan 5 Science 4 bergegas mengambil buku Biologi masing-masing dan melangkah ke makmal Biologi yang terletak di Blok C. Eileen dan Afrilla juga sudah bersiap-sedia untuk turun ke makmal sehingga mereka terlupa pada Fariel Aidid yang terkial-kial mencari tempat duduk.

“Excuse me sir, you boleh cepat sikit tak? Awak tau tak, kalau kita lambat turun, seluruh kelas akan menjadi mangsa cikgu Biologi tu.” Eileen berkata dengan kasar pada Fariel. Dia tidak ingin didenda hanya disebabkan seorang pelajar baru yang mengambil masa yang lama untuk mencari tempat duduk.

Afrilla yang berasa kasihan melihat Fariel, menegur perbuatan Eileen sebentar tadi. “Eileen, kau ni tak baiklah. Kita patut tolong dia, bukan marah-marah macam ni.” Afrilla meletakkan beg galas dan barang-barangnya ke tempat duduk di belakang tempat duduk asalnya. Eileen memerhatikan tingkah laku Afrilla dengan penuh curiga.

“Apa kau buat ni Afrilla?” Afrilla hanya membiarkan pertanyaan Eileen tidak berjawab. Kemudian, Afrilla menarik tangan Fariel dan menyuruh Fariel duduk di sebelahnya. “Awak duduk sebelah saya yer Fariel?” Eileen membeliakkan matanya mendengar kata-kata Afrilla. Dia menolak Fariel ke tepi dan berkata pada Afrilla, “Kau ni dah gila ke? Kau duduk sebelah aku and biarkan Fariel duduk dekat belakang dengan Afwal. Bukan ke senang macam tu? Tak kan kau nak biarkan aku duduk sebelah Afwal kot? Oh please, he is a weirdo.” Afrilla hanya ketawa melihat Eileen yang kelihatan cemas itu. Dia meletakkan semula barang-barangnya ke tempat duduk asal dan meletakkan beg galas Fariel di sebelah tempat duduk rakan sekelas mereka, Afwal Razimin. Seluruh kelas sudah ‘masak’ dengan perangai Afwal yang gila-gila dan suka menganggu pelajar perempuan. Salah seorang dari mangsanya ialah Eileen Arieda. Namun, sejak dia dimalukan oleh Eileen Arieda di hadapan pelajar-pelajar semasa waktu rehat, dia sudah tidak berani lagi menganggu Eileen.

Fariel mengangkat kening melihat Afrilla ketawa. ‘Ikut suka hati dia je nak letak beg aku kat mana. Dahlah tak mintak kebenaran aku dulu. Haih, bengang aku dengan minah ni. Nasib baik dia perempuan, kalau tak memang dah makan penumbuk aku ni.’ Fariel berpura-pura tersenyum apabila Afrilla mengalihkan pandangan padanya. “Ha Fariel, awak duduk di sini okay? Cepatlah sikit kemas barang-barang awak, kita dah lambat untuk kelas Biologi.” Fariel segera mengambil buku-buku yang diperlukan dan mengekori Afrilla dan Eileen ke makmal Biologi. Fariel tidak banyak bercakap sepanjang perjalanan ke makmal. Dia hanya bercakap apabila perlu sahaja. Sekiranya Afrilla dan Eileen berbual tentang topik yang tidak berkaitan dengan dirinya, dia hanya diam dan sekadar menganggukkan kepala apabila perlu. Sambil berjalan, Fariel memerhatikan tingkah laku dan gelagat pelajar-pelajar Sekolah Menengah Angsana. Dari cara percakapan dan cara jalan mereka, Fariel dapat mengagak bahawa mereka bukanlah calang-calang orangnya. Mereka semua pasti datang dari keluarga aristokrat dan golongan atasan. Sekolah Menengah Angsana memang terkenal di seluruh negara sebagai sekolah elit yang mewah dan kualiti pendidikan yang bertaraf tinggi.

‘Tak sesuai langsung aku masuk ke sekolah ini. Buat habis duit Puan Adrianna je bayar kos perbelanjaan aku di sekolah ni.’ Fariel mengeluh. Dia memerhatikan Eileen yang rancak berborak dengan Afrilla. “A’ah, aku dah cop dulu so kau tak boleh ambik. Haha!” Eileen kelihatan gembira bergurau-senda dengan Afrilla. Sesekali dia menggeletek pinggang Afrilla, membuatkan Afrilla menjerit seperti budak kecil. Fariel tersenyum kecil melihat keletah dua sahabat itu. ‘Mungkin sebab ini aku setuju dengan cadangan Puan Adrianna.’ “Ehem ehem,” Fariel tersedar dari lamunan. Dia memandang Eileen di hadapannya. “Apa?” Fariel menyoal Eileen yang tiba-tiba berdehem.

“Kita dah sampai makmal. Awak tak nak masuk ke?” Eileen menahan gelak melihat muka Fariel yang blur. ‘Mesti makmal sekolah lama dia buruk dan tidak secantik makmal Sekolah Menengah Angsana. Terkejut beruk dia tengok makmal sekolah ni. Baru makmal Biologi dia tengok, belum makmal Fizik lagi. Mesti pengsan dia nanti. Hehe.’ Eileen tersenyum sinis pada Fariel lalu melangkah ke dalam makmal dengan perasaan bangga setinggi gunung.

“Eileen, kejap!” Eileen berpura-pura tidak dengar Fariel memanggil namanya. Dia meneruskan langkahnya. Makin jauh dia melangkah ke dalam bilik makmal itu, makin meninggi perasaan sombongnya. ‘Hah, biar dia tahu yang aku ni pelajar paling kaya kat sekolah ni. Aku yang memberi idea pada papa aku untuk membina makmal Biologi begini. Biar dia tahu bahawa akulah pewaris tunggal bagi syarikat-syarikat besar di Malaysia termasuk sekolah ini. Hahaha!’

“Well Eileen Arieda, is there anything I can help you with?” Cikgu berbangsa Cina yang sedang mengajar mata pelajaran Kimia menegur Eileen yang tercengang di hadapan makmal. Mata kesemua pelajar di dalam makmal bertumpu pada Eileen Arieda. Kedengaran bunyi bisikan halus di mulut para pelajar di dalam makmal itu. Terdapat juga pelajar yang menahan tawa melihat muka Eileen Arieda yang pucat menahan malu yang tidak terhingga.

“Err, sorry teacher. I accidentally entered the wrong lab. Excuse me.” Eileen segera keluar dari makmal Kimia yang disangkanya makmal Biologi itu. Perasaan malunya semakin membuak-buak. Dia terasa seperti hendak menangis. Tiba-tiba dia terdengar hilai tawa yang sangat kuat. Dia mendongakkan kepalanya dan melihat Afrilla dan Fariel yang sedang mentertawakannya seperti orang dirasuk syaitan. Afrilla ketawa sambil menekan-nekan perutnya. Fariel pula ketawa sambil menepuk-nepuk dinding dengan kuat. Eileen berjalan dengan laju sambil menghentak-hentakkan kakinya melepaskan geram akibat ditertawakan.

“Eh Eileen, tunggu!” Afrilla dan Fariel berlari-lari anak mengejar Eileen yang berjalan dengan laju. Afrilla menarik tangan Eileen lalu meminta maaf darinya. “Sorrylah Eileen, jangan marah. Tadi Fariel dah panggil kau tapi kau masuk jugak makmal tu.” Afrilla menahan senyuman di bibirnya. Dia memeluk bahu Eileen dengan mesra. “Jangan marah ya sayang?” Eileen tergelak kecil mendengar kata-kata Afrilla. Fariel hanya memerhatikan gelagat mereka sambil tersenyum sinis. Dia berdiri di sebelah Eileen dan berjalan beriringan dengan mereka berdua.
Sepasang mata dari dalam makmal kimia memerhatikan kemesraan mereka bertiga dengan perasaan keliru berbaur cemburu. ‘Kenapa dia rapat dengan Eileen? Apakah hubungan antara dia dengan Eileen?’ Pelbagai persoalan bermain-main di kotak fikirannya namun semuanya terbiar tiada jawapan.

“Okay class, today we will learn about the regulatory mechanism of blood pressure. Yesterday, I have talked with you briefly about this topic. So, can anyone explain about the regulation of blood pressure?”

Semua pelajar terdiam. Terdapat juga pelajar yang menundukkan kepala kerana tidak ingin dipilih untuk menjawab soalan guru Biologi itu. Eileen menarik lengan baju Fariel lalu berbisik di telinga Fariel, “Awak dengar je apa yang cikgu ni terangkan. Saya tahu awak pelajar baru jadi awak mesti tak tahu apa-apa tentang Biologi kan?” Fariel menjeling Eileen di sebelahnya. Sesekali dia membetulkan tali leher yang dipakainya.

“Hmm, Eileen Arieda, please?” Seluruh kelas memandang Eileen yang terlopong mulut. Eileen tidak menyangka bahawa guru Biologi itu akan memilihnya. Dia berdiri dengan terketar-ketar. ‘Apa aku nak cakap ni? Aku bukan baca sangat pasal benda alah ni. Hish, cikgu ni saje je tau!’ Eileen terkumat-kamit cuba menerangkan tentang mekanisma tekanan darah di dalam sistem badan manusia.

“Err, sorry teacher. I don’t know.” Guru Biologi itu mendengus kecil sambil mengeleng-gelengkan kepalanya.

“It’s okay, you can sit now. Hm, are you a new student?” Guru Biologi itu mengalihkan pandangan pada Fariel Aidid yang duduk membatu sejak tadi. Fariel yang terkejut dengan pertanyaan secara tiba-tiba itu sekadar menganggukkan kepalanya.

“What’s your name?” Guru itu menyoal.

“Fariel Aidid.” Fariel dapat merasakan mata semua pelajar di dalam makmal sedang bertumpu ke arahnya.

“So Fariel Aidid, can you explain about the regulation of blood pressure?”

Eileen tersedak mendengar kata-kata guru Biologi itu. Dia memerhatikan Fariel yang berdiri secara perlahan-lahan. ‘Aku yang pandai ni pun tak dapat jawab. Inikan pulak budak baru hingusan ni. Tapi padan muka dia. Biar dia rasa malu macam aku. Hehehe.’

Fariel Aidid berdehem seketika sebelum memulakan penerangannya. “Blood pressure is regulated by a negative feedback mechanism. The detection of blood pressure is done by the pressure receptors known as baroreceptors which are located in the arch of the aorta and the carotid arteries. These receptors send nerve impulses to the medulla oblongata where the cardiovascular centre is to help regulate the blood pressure.” Fariel Aidid memberi penerangan dengan penuh semangat dan keyakinan. Seisi kelas sunyi sepi. Hanya bunyi angin dari penghawa dingin yang jelas kedengaran. Guru Biologi di depan makmal juga terkedip-kedip memandang Fariel Aidid.

“Where are the carotid arteries located?” Guru itu menyoal sekadar menduga Fariel Aidid.

Fariel tersenyum sinis pada Eileen di sebelahnya sebelum menjawab, “They are located in the neck and they supply blood to the brain.” Semua ‘penghuni’ makmal Biologi tercengang memerhatikan Fariel Aidid. Mereka berasa tidak percaya bahawa seorang murid baru dari sekolah yang biasa boleh memberi penerangan yang rigkas dan tepat.

“Thank you Fariel, you may sit now.” Fariel menundukkan kepalanya lalu duduk semula ke tempat duduknya. Afrilla Atia tersenyum pada Fariel Aidid sambil mengangkat jari ibunya tanda bagus. Fariel hanya tersenyum kecil. Sebenarnya, dia juga tidak tahu dari mana dia mendapat keyakinan untuk memberi penerangan sebentar tadi. Mungkin kerana dia tidak ingin diperlekehkan oleh Eileen Arieda.

Usai kelas Biologi, semua pelajar tingkatan 5 Science 4 bergerak ke kelas mereka di Blok D. Eileen yang tidak puas hati dengan Fariel melangkah dengan pantas meninggalkan Fariel dan Afrilla di belakang. “Konon pandailah? Dah budak baru tu, buatlah cara macam budak baru. Ni tak, baru jawab soalan Biologi sikit dah bangga setinggi gunung. Ada ke patut dia bagi senyuman sinis dia yang ntah apa-apa tu kat aku tadi? Konon handsomelah tu? Memanglah handsome tapi perangai macam isshhhhh! Afrilla tu pun satu, nampak mamat handsome sikit dah tergedik-gedik. Aku yang berduka lara ni dia layan macam patung pulak.” Sedang Eileen mengomel sendirian, tiba-tiba dia merasakan hentakan yang kuat pada badannya. Eileen jatuh tersungkur. Buku-bukunya jatuh berserakan di atas lantai koridor yang beralaskan marmar.

“OUCHH, sakit tau tak! Awak ni buta ke?!” Eileen menengking orang yang melanggarnya itu. Lelaki itu terkocoh-kocoh mengutip buku-buku Eileen di atas lantai.

“Sorry, saya tak sengaja.” Lelaki itu menundukkan kepalanya berkali-kali. Fariel dan Afrilla memerhatikan tingkah laku mereka berdua dari jauh. Fariel mengecilkan matanya. Dia seperti pernah berjumpa dengan lelaki itu tetapi dia tidak ingat di mana.

“Eh kejap, saya rasa saya kenallah awak. Awak ni mamat yang langgar saya hari tu kan? Kerja awak ni memang langgar orang je eh?” Eileen menahan tawa melihat kekalutan lelaki yang pernah melanggarnya dua hari yang lepas sewaktu dia terburu-buru ke kelas 5 Science 3. Reda sedikit kemarahannya melihat wajah lelaki yang kacak di hadapannya ini.

“Err sorry, saya tak sengaja. Awak tak apa-apa ke Eileen?” Lelaki itu memerhatikan Eileen yang sibuk mengusap-usap tapak tangannya. Risau juga sekiranya Eileen cedera. Boleh masuk lokap dia nanti!

“I’m fine. By the way, mana you tau nama saya?” Eileen menyoal sambil mengangkat keningnya. Dia berasa pelik bagaimana lelaki itu mengetahui namanya sedangkan dia tidak pernah bertegur dengan lelaki tersebut.

“Err, siapa tak kenal Eileen Arieda.” Lelaki itu tersenyum manis pada Eileen. Eileen terkedu memandang senyuman lelaki itu yang memukau. ‘Kalah senyuman Fariel Aidid!’ Memang Eileen tidak dapat nafikan bahawa dia sudah jatuh hati pada lelaki ini sejak hari pertama dia terlanggar lelaki itu di Blok D.

“Nama awak apa? Tak kan awak je kot yang tahu nama saya?” Eileen ketawa senang melihat lelaki itu tersenyum meleret. Eileen sedar bahawa Fariel dan Afrilla sedang memerhatikannya dari jauh. Dia sengaja mahu melengahkan masa dan menaikkan kemarahan mereka berdua. ‘Mesti Afrilla jealous tengok aku berborak dengan mamat handsome ni. Hah, padan muka dia.Siapa suruh dia menggedik dengan Fariel?’ Sangkaan Eileen memang tepat. Tahap cemburu Afrilla sudah sampai ke puncak. Fariel pula hanya mendiamkan diri melihat Eileen dan lelaki itu berborak. Namun, terdapat sesuatu yang menganggu fikirannya. Dia seperti kenal lelaki itu.

Alfian menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Eileen. Eileen menyambut huluran tangan Alfian. Hati Alfian berbunga riang saat itu. Dia tidak percaya bahawa dia dapat berjabat tangan dengan gadis idamannya. Sekali lagi diulang, gadis idamannya! Gadis idaman yang tidak pernah membalas mesej-mesejnya sebelum ini. Gadis idaman yang tidak pernah mengenali dirinya. Gadis idaman yang telah berjaya memikat hatinya. Alfian terasa seperti hendak melompat pada masa itu.

“My name is….

“Alfian Altaire!” Fariel Aidid mengepal penumbuk dengan wajah yang marah. Afrilla yang terkejut dengan kelakuan Fariel memandang Fariel dengan pandangan aneh.

“Fariel, are you okay?” Afrilla mengerutkan dahi melihat perubahan angin Fariel. Dia tidak pernah melihat Fariel dingin sebegini. Sebentar tadi Fariel kelihatan ceria sahaja.

Fariel membiarkan pertanyaan Afrilla tidak berjawab. Hatinya menyala dengan api kemarahan pada saat itu. Dia tidak percaya bahawa dia sedang melihat musuh ketatnya bermesra dengan Eileen Arieda, juga musuh ketatnya. Dia tidak percaya bahawa dia bersekolah dengan Alfian Altaire, orang yang dicarinya selama ini. Lelaki itu telah menyebabkan hidupnya menderita selama ini. Dia tidak pasti bahawa ini semua suratan atau kebetulan. Melihat ekspresi bersahaja Alfian Altaire membuatkan dia teringat kembali peristiwa sewaktu dia kecil. Peristiwa yang masih segar di ingatannya. Peristiwa yang tidak akan dilupainya. Peristiwa yang diakibatkan oleh lelaki bernama Alfian Altaire itu. Lelaki itu telah membajai dendam yang Fariel simpan bertahun-tahun lamanya. Kini Fariel memasang satu matlamat, dia harus menjauhkan Eileen Arieda dari lelaki yang menyebabkan dia menderita selama bertahun-tahun, Alfian Altaire.

“Kau tak akan terlepas kali ni.” Fariel berkata secara perlahan. Afrilla masih memerhatikan Fariel dengan perasaan curiga dan pelik. Dia tidak tahu apa yang difikirkan Fariel pada saat itu. Dia cuma tahu ada sesuatu yang tidak memuaskan hati Fariel. Dia tidak tahu apakah sebab itu, tetapi yang dia pasti, ‘sesuatu’ itu bukan sesuatu yang baik.


____________________________________________________________________

No comments:

Post a Comment